Tuesday, May 6, 2008

Apa jadi dengan Khairy dan 'Beruk'?

Wan Nordin Wan Yaacob Tue May 06, 08 12:02:01 pm MYT

Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin kini sudah bergelar Yang berhormat yang mewakili Parlimen Rembau di Dewan Rakyat berikutan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

Di Dewan Rakyat kini tempatnya untuk beliau menunjukkan aksinya yang akan diperhati ramai ahli Parlimen terutamanya dari Pakatan Rakyat yang sebelum ini 'bosan' dengan sikap menantu Perdana Menteri ini sebelum menjadi Yang Berhormat.

Lebih-lebih lagi seingat penulis pada tahun 2007 ketika heboh rakyat bercakap tentang Himpunan Aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendapat gelaran 'beruk' dari Khairy.

Khairy membuat kenyataan tersebut ketika menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap perhimpunan Bersih yang diadakan tiga hari selepas perhimpunan agung tersebut.

"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalan raya tetapi bertanding dalam gelanggang pilihan raya umum," kata Khairy ketika berucap menggulung perbahasan di perhimpunan Pemuda Umno di PWTC tahun lalu.

Kini Khairy berhadapan dengan satu realiti dalam hidup sebagai seorang wakil rakyat.
Pentas Dewan Rakyat adalah pentas terbuka yang mendedahkan beliau kepada perkara-perkara yang pernah diperkatakan terhadapnya sebelum ini.

Sebagai menantu perdana menteri, sebelum ini beliau dilihat cukup mudah mencari 'escapisme' untuk lari dari apa yang pernah diucapkan dengan bapa mertuanya membelanya.

Ini termasuk sokongan yang diterimanya daripada kenyataan bapa mertuanya itu berhubung himpunan Bersih yang mana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu turut terheret dengan bahasa kesat dengan berkata 'saya pantang dicabar'.

Kesannya, rakyat turun beramai-ramai dalam himpunan Bersih bagi membuktikan bahawa 'rakyat pantang dicabar oleh seorang Perdana Menteri yang mengikut telunjuk menantunya'.
Lebih 100,000 membanjiri sekitar jalan raya dari Masjid Jamek hingga ke Masjid Negara menuju ke Istana Negara dalam himpunan aman anjuran Bersih.

Bermula daripada detik itu, beberapa siri himpunan aman termasuk Hindraf dan sebagainya mendapat sokongan padu dari rakyat jelata terutama yang terhimpit dengan sistem yang diamalkan kerajaan BN.

Dalam pada itu Khairy terus-menerus disebut sebagai pihak yang banyak mempengaruhi Abdullah dalam membuat keputusan, termasuk dalam hal-hal yang membabitkan dasar dan kepentingan negara.

Hal ini ditegaskan berulang kali oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadikan Khairy 'seteru' utamanya hingga kini.

Dalam hal-hal yang membabitkan keputusan menetapkan calon-calon BN bagi pilihan raya umum lalu Khairy juga disebut-sebut antara pihak yang memainkan peranan menyumbang kepada kemerosotan teruk undi BN.

Mana tidaknya, topik utama perbincangan ahli-ahli Umno dan BN selepas mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya 8 Mac lalu ialah, hubung kait antara perancangan Khairy dan bapa mertuanya yang menjadikan Umno/BN semakin hancur.

Gelodak politik yang diakibatkan oleh dua insan ini adalah sesuatu yang perit kepada Umno sendiri memandangkan kini Umno semakin berpecah kerana dua faktor ini.

Orang yang menjadi sasaran dari dalam dan luar Umno hanyalah Khairy dan Abdullah hingga ramai yang mahu mereka berdua secara jujur mengakui kesilapan perancangan semasa pilihan raya umum lalu.

Kini Khairy menjadi fokus terhadap permasalahan sekeliling yang melingkari Umno.Fokus tertumpu kepada Khairy, dan isu pertama yang dihadapi antaranya ialah menjawab beberapa kenyataan 'pedas' nya dahulu hingga melabel rakyat sebagai 'Beruk'.

Di Dewan Rakyat minggu lalu, Khairy telah diserang oleh Gobind Singh Deo (DAP Puchong) yang mencabar Khairy memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuatnya itu pada 7 November tahun lalu di perhimpunan Pemuda Umno.

Namun Khairy dalam jawapannya semasa bertemu wartawan semalam (5 Mei)tidak mahu memohon maaf sebaliknya hanya mengucapkan 'tiada komen dan terima kasih'.

Mungkin beliau merasakan tiada masalah dengan apa yang pernah diperkatakannya kepada rakyat pada 7 November lalu, namun bagi rakyat ia adalah 'luka' yang menjadi nanah yang menyebabkan kerajaan BN tumbang di lima negeri pada pilihan raya umum lalu.

Ataupun Khairy kini mula berfikir bahawa himpunan aman sedemikian rupa sebenarnya wajar dalam negara Demokrasi tatkala sesuatu parti menjadi parti pembangkang di sesebuah negeri atau negara.

Hakikat di Pulau Pinang, berlaku himpunan aman anjuran NGO dan Umno negeri yang menentang beberapa dasar yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang dikepalai DAP di sana.
Namun tiada singgah pun perkataan 'beruk' daripada mulut Khairy terhadap kelompok ini hanya kerana mereka adalah kelompok Umno yang hilang kuasa di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum lalu.

Secara sedar atau tidak tindak tanduk Khairy sedikit sebanyak sebenarnya menyumbang kepada faktor kekalahan itu dan ia disebut berulang kali oleh Dr Mahathir dan beberapa tokoh lain dalam Umno/BN.

Hari mendatang di Dewan Rakyat bukan satu jaminan kepada Khairy untuk sentiasa selamat selagi bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri.

Khairy mungkin akan berhadap dengan lagi kecaman, dan teguran berikutan sikapnya sebelum ini.Awas banyak mata yang memerhatikan pergerakan beliau termasuk kalangan media dan pemerhati politik.

Mungkin selepas ini perkataan 'Beruk' yang pernah dilontarkannya kepada rakyat yang berhimpun, akan dipulangkan semula kepadanya di Dewan Rakyat oleh kalangan ahli Parlimen. - mks. HarakahDaily

Komen # Aku pun heran gak, tiap kalu aku search images kat google search mesti result dia kuar gambar beruk. Tak caya try tengok..

0 comments: