Salman Hussin
Sun | May 25, 08 | 1:03:02 pm MYT
MUAR, 25 Mei (Hrkh) - PAS Johor merasa amat dukacita dan kesal di atas kegagalan Kerajaan Malaysia mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh sehingga pulau berkenaan terlepas ke Singapura.
"Insiden malang yang sangat mengaibkan seluruh rakyat negara ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya Menteri Luar sebelum ini iaitu, Tan Sri Syed Hamid Albar, benar-benar komited dalam menangani isu ini.
"Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan Pulau Batu Puteh ini kepada Singapura membuktikan betapa tidak bersungguhnya menteri ini menjalankan tugasnya sebagai menteri luar, kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Muhamad, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan ICJ menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura yang diumumkan di Haque Belanda, Jumaat lalu,
Katanya, selain Syed Hamid, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman dan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail, juga tidak menunjukkan usaha bersungguh-sungguh berhubung Pulau Batu Puteh ini.
"Sebagai Ketua Kerajaan Negeri, Ghani sepatutnya peka serta mengambil berat segala hal ehwal yang berlaku di negeri yang beliau terajui, pulau ini berada di wilayah Johor, maka sudah tentulah menjadi tanggung jawab beliau untuk mempertahankannya," katanya.
Katanya, Ghani Patail pula sebelum ini begitu sibuk dan mengambil berat kes di Batu Buruk Terengganu, ini kerana kes tersebut membabitkan pembangkang sebab itu beliau begitu pantas bertindak.
"Tetapi kenapa dalam isu Pulau Batu Puteh ini beliau seolah-olah langsung tidak mengambil berat untuk menyediakan fakta sejarah yang lengkap serta hujah yang mantap bagi menyakinkan ICJ bahawa pulau ini adalah milik Malaysia?
"Kita mempertikaikan kewibawaan serta kredibiliti pihak-pihak terbabit serta pemimpin negara ini di atas kegagalan mempertahankan kedaulatan pulau ini, sesungguhnya apa yang berlaku ini sangat mengaibkan maruah negara ini di mata dunia," sambungnya.
Bagaimanapun katanya, PAS tidak sekali-kali mempertikaikan keputusan ICJ menyerahkan pulau ini kepada Singapura, mereka mengambil masa enam bulan sebelum membuat keputusan ini, sudah tentu banyak faktor yang diambil kira sebelum keputusan muktamad diambil.
"Sebagai kerajaan yang bertanggung jawab terhadap negara ini, mereka sepatutnya bersungguh-sungguh menangani isu yang sangat sensitif selain turut membabitkan maruah negara dan rakyat ini.
"Jika dilihat dari sudut fakta berkaitan dengan pertikaian ini, banyak fakta serta bukti yang menyebelahi kita, tetapi malangnya penghujahan kita gagal mematahkan hujah pihak lawan," katanya.
Katanya, insiden malang yang menimpa Pulau Batu Puteh ini sewajarnya dijadikan iktibar oleh pemimpin negara ini supaya perkara yang sama tidak berulang lagi,
"Apa yang menjadi kebimbangan kita, sekarang ini terdapat satu lagi pulau di Johor yang menempatkan rumah api milik Singapura, iaitu Pulau Pisang di Pontian, setelah berjaya merampas Pulau Batu Puteh, berkemungkinan besar mereka akan membuat tuntutan yang sama ke atas pulau ini.
"Kita mengingatkan kerajaan supaya menyediakan segala dokumen serta fakta yang lengkap mulai sekarang seandainya isu Pulau Pisang ini dibawa ke ICJ suatu masa nanti.
"Kalau Pulau Batu Puteh hanya seluas sebuah padang bola, tetapi Pulau Pisang luasnya lebih kurang 30 ekar, selain itu terdapat juga beberapa buah pulau berhampiran pulau ini.
"Sementara itu di Serkat pula terdapat sebuah lagi pulau yang begitu hampir dengan Singapura iaitu Pulau Merambung, kedudukan kesemua pulau-pulau ini begitu strategik, tidak mustahil pulau-pulau ini turut diintai negara jiran kita, ini yang pemimpin negara perlu fikirkan.
"Oleh kerana itu kita mendesak kerajaan supaya bertegas menyatakan pendirian bahawa Pulau Pisang ini adalah hak mutlak Malaysia, dengan apa cara sekali pun Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera bagi menyelamatkan pulau ini sebelum terlambat, cukuplah sekali maruah rakyat dan negara ini diaibkan sebegitu rupa," tegasnya.
Katanya, jika pemimpin negara ini terus lalai dan leka serta tidak bertindak segera bagi menyelamatkan Pulau Pisang ini, PAS sangat bimbang insiden malang yang menimpa Pulau Batu Puteh tidak mustahil akan berlaku ke atas Pulau Pisang pula. - mns